Sunday, February 22, 2009

Wajib Menyegerakan Taubat

Selain wajib hukumnya bertaubat, wajib juga hukumnya menyegerakan taubat. Orang yang mengerjakan maksiat, kemudian dia tidak bertaubat, bahkan menangguhkan masa untuk bertaubat, maka selain mendapat dosa kerana mengerjakan maksiat, dia juga berdosa kerana melambat-lambatkan taubat.
.
Firman Allah SWT
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa. (Ali-Imran: 133)
.
Dalam ayat itu Allah menyuruh kita hambaNya supaya segera merebut keampunan dari Allah serta merebut syurga. Segera merebut keampunan samalah dengan segera bertaubat.
.
Dalam ayat 135 Allah SWT memuji orang yang terus saja mengingat Allah dan segera bertaubat jika sudah terlanjur mengerjakan kejahatan. Allah juga mengatakan bahawa tindakan seperti itu adalah di antara sifat-sifat orang bertakwa.
.
Firman Allah:
Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampunan terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (Ali Imran: 135)
.
Orang bertakwa, seandainya dia sudah terlanjur mengerjakan dosa, dia terus saja ingat kepada Allah, dia menyesali perbuatannya dan segera bertaubat. Ada orang yang sedar akan kesalahan yang dia lakukan tetapi belum mahu bertaubat. Katanya dia akan bertaubat setelah tua. Ada juga orang yang seolah-olah tidak menyedari dosa yang dia lakukan. Dia terus saja menuruti kehendak nafsunya dan tidak ada perancangan untuk bertaubat. Orang yang tidak mempunyai perancangan untuk bertaubat dan orang yang ingin bertaubat setelah tua, semuanya tidak betul dan tidak menepati orang-orang bertakwa.
.
Kita perlu segera bertaubatkerana banyak sebab. Pertama, menangguh-nangguhkan taubat itu adalah suatu dosa yang perlu pula bertaubat khusu untuk itu. Kedua, dosa yang dilakukan itu membuat hati gelap. Kalau dosa kita sudah bertimbun atau melambak, hati kita menjadi ktor dan gelap. Kalau hati sudah gelap, tidak masuk hidayat dan tidak nampak lagi cahaya kebaikan. Orang seperti itu biasanya tidak timbul kesedaran. Tidak ada keinginan untuk bertaubat, tidak mengambil ikhtibar dari apa yang terjadi di sekelilingnya dan tidak takut nyawanya dicabut malaikat secara tiba-tiba.
.
Padahal orang yang mempunyai akal sepatutnya takut dicabut nyawanya secara tiba-tiba. Sungguh keliru perkiraan orang yang bercita-cita akan bertaubat setelah tua. Tidakkah dia takut mati sebelum sempat bertaubat? Sekarang ini semakin banyak penyebab kematian secara tiba-tiba. Angka kemalangan jalan raya terus saja meningkat seiring dengan mulusnya jalan raya serta semakin banyaknya kenderaan. Semakin banyak jenis penyakit, semakin banyak pembunuhan dan sebagainya.
.
Selain itu kita perlu segera bertaubat sebelum terlambat, sebelum Allah enggan menerima pernyataan maaf kita, atau tegasnya sebelum ditutup pintu taubat.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.