Saturday, February 28, 2009

Kepentingan Taharah

Taharah amat penting dalam Islam sama ada taharah haqiqi, iaitu suci pakaian, badan dan tempat sembahyang daripada najis ataupun taharah hukmi, iaitu suci anggota wudu' daripada hadath, dan suci seluruh anggota zahir daripada janabah (junub); sebab ia menjadi syarat yang berkekalan bagi sah sembahyang sebanyak lima kali sehari. Oleh kerana sembahyang adalah perlakuan menghadap Allah S.W.T., maka menunaikannya dalam keadaan suci adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah S.W.T. Walaupun hadath dan Janabah bukanlah najis yang dapat dilihat, tetapi ia tetap merupakan najis ma'nawi yang membawa kepada kotor tempat yang terkenanya. Oleh itu, apabila ia ada, maka ia mencacatkan penghormatan dan berlawanan dengan prinsip kebersihan. Untuk menyucikannya, maka perlulah mandi. Jadi, jelaslah taharah dapat menyucikan rohani dan jasmani sekaligus.
.
Islam sangat mengambil berat supaya penganutnya sentiasa bersih dalam dua perkara; maddi (lahiriah) dan ma'nawi (rohani). Ini membuktikan bahawa Islam sangat menjaga kebersihan dan membuktikan Islam sebagai contoh tertinggi bagi kecantikan dan penjagaan kesihatan diri dan pembinaan tubuh badan dalam bentuk yang paling sempurna, juga menjaga persekitaran dan masyarakat supaya tidak menjadi lemah dan berpenyakit kerana membasuh anggota yang lahir yang terdedah kepada debu, tanah dan kuman-kuman setiap hari serta membasuh badan dan mandi setiap kali berjunub akan menjadikan tubuh badan bersih daripada kekotoran. Sudah ternyata dari segi kedoktoran bahawa cara yang paling baik untuk mengubati penyakit berjangkit dan penyakit-penyakit lain ialah dengan menjaga kebersihan. Menjaga kebersihan ini adalah suatu langkah pengawasan diri daripada terkena penyakit. Sesungguhnya pengawasan adalah lebih baik daripada mengubati.
.
Allah S.W.T. memuji orang yang bersuci [mutatahhirin] berdasarkan firman-Nya:
Terjemahan:... Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri. (Surah al-Baqarah 2:222)
.
Allah S.W.T. memuji ahli Masjid Quba' melalui firmanNya:
Terjemahan: ... Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka membersihkan (menyucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (Surah al-Taubah 9:108) .
.
Seseorang Muslim hendaklah menjadi contoh kepada orang lain dalam soal kebersihan dan kesucian baik dari segi zahir mahupun batin. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sekumpulan sahabatnya:
Terjemahan: Apabila kamu datang ke tempat saudara-saudara kamu, hendaklah kamu perelokkan atau kemaskan kenderaan dan pakaian kamu sehingga kamu menjadi tumpuan di antara manusia kerana Allah tidak suka perbuatan keji dan keadaan tidak teratur.
.
Sumber: Wahbah al-Zuhaili (1994) FIQH & Perundangan Islam - Jilid I. [Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.] Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
.