Friday, February 27, 2009

HUKUM MELAKSANAKAN SOLAT TAUBAT

Hukum mengerjakan solat taubat adalah sunat. la tergolong dalam kumpulan atau jenis-jenis solat sunat. Solat taubat ini memang ada disyariatkan dalam Islam. Dalil-dalilnya ada dijumpai dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW
.
Firman Allah:
Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, lalu mereka ingat kepada Allah, kemudian mereka mohon ampun atas dosa-dosa mereka itu. (AH Imran: 135)
.
Dalam menafsirkan ayat itu, Ibnu Katsir mengatakan bahawa sangat dikehendaki kepada orang yang telanjur melakukan dosa sedangkan dia sudah insaf dan teringat untuk bertaubat kepada Allah, supaya dia mengambil wuduk kemudian mengerjakan solat dua rakaat. Sebagaimana diriwayatkan dari Ali r.a., katanya:
"Apabila aku mendengar hadis dari Rasulullah SAW, mudah-mudahan aku diberi manfaat oleh Allah menurut kehendakNya dari hadis itu. Tetapi jika aku mendengar hadis Nabi SAW dari orang lain, aku minta supaya dia bersumpah. Jika dia berani bersumpah, maka saya membenarkannya dan mempercayainya. Dan bahawa Abu Bakar ra menceritakan sebuah hadis kepadaku, dan benarlah Abu bakar itu, bahawa beliau mendengar
.
Rasulullah SAW bersabda:
Tiada seorang pun, yang berdosa, lantas dia berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, melainkan Allah SWT akan mengampuninya. Selanjutnya beliau membaca ayat: Orang-orang yang melakukan perbuatan yang keji atau menganiaya diri mereka sendiri, lalu teringat kepada Allah serta memohon ampun atas segala dosa-dosanya, dan siapakah lagi yang mengampuni dosa kecuali Allah? Lagi pula mereka tidak terus menerus berbuat dosa, sedang mereka mengetahui. Balasan untuk mereka ialah keampunan dari Tuhan mereka serta syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya.
.
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah, Baihaqiy dan Tirmizi. Menurut Tirmizi hadis ini adalah hadis Hasan.
.
Imam Ibnu Katsir juga menyebutkan demikian dalam tafsir Al-Quran Al-Azhim jilid 1 halaman 407. Jamaluddin Al-Qasimiy dalam Al-Qasimiy jilid 4 halaman 977.
.
Di samping itu Muhammad bin Abdul Salam di dalam Al-Sunan Wal Mubtada'at halaman 127, selain mengutip hadis di atas juga mengutip, bahawa Imam Syaukani menyebut sanad ini dalam syarah Al-Hisnul Hasin dengan lafaz:
Tiadalah seorang yang berdosa, kemudian dia berdiri dan bersuci, kemudian dia mengerjakan solat dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, melainkan Allah akan mengampuninya.
.
Selanjutnya Rasulullah saw membaca:
Orang-orang yang melakukan perbuatan yang keji atau menganiaya diri mereka sendiri, lalu dia teringat kepada Allah serta memohon ampun atas dosa-dosa mereka. (Ali Imran: 135 )
.
Hadis ini juga disebut dalam kitab Ibnu Sunniy dan dalam Al-Targhib wa Al-Tarhib.
.
Dengan demikian kiranya dapat dimaklumi bahawa solat taubat dengan cara seperti yang diriwayatkan oleh Abu Bakar ini, iaitu solat dua rakaat, setelah memberi salam memohon ampun kepada Allah, maka ini ada dasarnya dari Sunnah Rasulullah SAW.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.