Friday, February 27, 2009

HIKMAH SOLAT TAUBAT

Hikmah ertinya kebaikan yang tersembunyi. Semua peraturan yang digariskan Allah ada hikmah atau kebaikannya. Kebaikan dimaksud bukan untuk Allah tetapi untuk manusia. Namun banyak di antara yang ditetapkan Allah itu tidak disebutkan hikmahnya dalam Al-Quran atau hadis. Dalam keadaan demikian maka para ulamalah yang mengatakan apa hikmahnya.
.
Begitu juga dengan solat taubat, disuruh kita mengerjakannya kerana ada hikmah yang tersembunyi. Hikmah solat taubat ialah untuk membersihkan dosa-dosa kita. Memang dengan mengucap istighfar saja pun (kalau kita betul-betul bertaubat), Allah akan mengampuni dosa-dosa kita. Namun supaya kita nampak lebih sungguh-sungguh bertaubat, perlulah kita mengerjakan solat sunat taubat. Ada orang yang mengucap istighfar (minta ampun), setiap selesai mengerjakan solat fardu tetapi dosa yang selalu dia kerjakan belum dia tinggalkan dan tidak ada perasaan menyesal. Pernyataan minta ampunnya itu hanya di bibir belaka. Orang seperti itu sudah pasti lebih baik mengerjakan solat taubat supaya nampak lebih serius taubatnya.
.
Cara yang lebih baik ialah dikerjakan solat taubat di rumah tengah malam atau menjelang sahur. Ketika sujud yang terakhir dilamakan sujudnya dan direnungkan segala dosa yang telanjur dikerjakan dan direnungkan pula bagaimana dahsyatnya siksa Allah. Begitu juga setelah memberi salam diangkat tangan sambil memohon keampunan dari Allah. Hendaklah dingat-ingat segala kesalahan yang dilakukan, hendaklah direnungkan bagaimana beraninya kita melanggar perintah Allah dan kita bayangkan betapa hebatnya siksa Allah. Di samping itu hendaklah kita yakin bahawa Allah sebenarnya rela memaafkan kesalahan kita asalkan kita betul-betul bertaubat. Bererti perlu ada khauf (rasa takut) dan raja (rasa harap). Maksudnya perlu takut terhadap siksa Allah dan perlu pula yakin bahawa Allah yang Maha Pengampun akan mengampuni segala dosa-dosa kita.
.
Begitu juga tidak ada ukuran atau batas berapa kali kita diperlukan mengerjakan solat taubat. Lebih banyak dan lebih sering dikerjakan sudah tentu lebih baik. Namun tidak ada gunanya solat taubat berulangkali dikerjakan kalau tidak betul-betul bertaubat dari dosa-dosa yang telah dikerjakan.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.