Sunday, February 22, 2009

Hakikat Taubat

Sesungguhnya bertaubat itu ialah kembali kepada Allah SWT dengan istiqamah menjalankan apa-apa yang wajib dan meninggalkan segala apa yang dilarang. Taubat bererti kembalinya seseorang dari sesuatu yang dibenci menuju sesuatu yang disukai atau dicintai. Bererti kembali kepada yang dicintai itulah yang dikatakan taubat. Sedangkan kembali kepada yang dibenci merupakan bahagian lain lagi. Itulah sebabnya Allah SWT menggantungkan tercapainya keberuntungan mutlak itu pada pengalaman perintahNya dan meninggalkan laranganNya.
.
Firman Allah:
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (An-Nur: 31)
.
Jadi, setiap orang yang bertaubat itu pasti beruntung, dan dia tidak akan memperolehi keuntungan kecuali dengan mengerjakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarangNya.
.
Firman Allah:
Sesiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)
.
Orang yang tidak mengerjakan apa-apa yang diperintahkan itu disebut orang yang zalim. Sedangkan hilangnya laqab atau sebutan zalim daripadanya hanya dengan bertaubat yang mencakupi pelaksanaan dua perkara di atas. Bererti manusia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu orang yang bertaubat dan orang zalim. Tidak ada selain itu. Orang yang bertaubat itu ialah mereka yang disebutkan dalam firman Allah dalam surah Al-Taubah ayat 112 yang bermaksud:
.
"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, orang-orang yang berpuasa, orang-orang yang rukuk, orang yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf (kebaikan) dan mencegah dari berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah."
.
Memelihara hukum-hukum Allah adalah sebahagian dari taubat, kerana taubat itu adalah himpunan dari perkara-perkara ini. Seseorang disebut sebagai orang yang bertaubat kerana dia kembali kepada perintah Allah setelah tadinya mengerjakan yang dilarangNya dan kembali mentaati Allah setelah sebelumnya derhaka kepadaNya.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.