Friday, February 27, 2009

TEMPAT MELAKSANAKAN SOLAT TAUBAT

Tidak ada tempat tertentu untuk mengerjakan solat taubat, ertinya boleh dikerjakan di mana saja. Solat taubat boleh dikerjakan di masjid, di rumah dan tempat-tempat lainnya yang sesuai untuk mengerjakan solat.
.
Dalam hal ini hanya ada timbul tentang tempat yang lebih afdal atau lebih baik. Solat-solat sunat sebenarnya lebih baik dikerjakan di rumah berbanding masjid. Dari Zaid bin Tsabit, Rasulullah saw bersabda:
Solat seseorang di rumahnya lebih afdal daripada solatnya di masjidku ini (masjid Nabawi di Madinah), kecuali solat yang wajib. (H.R. Abu Daud)
.
Dari Umar ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat seseorang di rumahnya adalah merupakan cahaya, maka sesiapa yang suka, maka buatlah cahaya di rumahnya." Hadis itu diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
.
Dari Abdullah bin Umar katanya Rasulullah SAW bersabda:
Jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumah kamu, dan janganlah jadikan rumah kamu itu seperti kuburan. (H.R. Ahmad dan Abu Daud)
.
Maksud menjadikan rumah macam kuburan ialah rumah-rumah yang tidak pernah orang solat di dalamnya dan tidak pernah kedengaran Al-Quran dibacakan disana.
.
Hadis-hadis tersebut menerangkan bahawa solat-solat sunat di rumah lebih afdal daripada solat sunat di masjid, walaupun di masjid Nabawi sekalipun. Dalam hubungan ini Imam Nawawi menjelaskan, sebabnya dianjurkan mengerjakan solat sunat di rumah kerana lebih tersembunyi dan lebih terpelihara daripada riya, juga lebih terpelihara dari perkara-perkara yang dapat membatalkan amal. Dan supaya rumah mendapat berkat dan supaya turun malaikat dan rahmat, serta supaya lari syaitan dari dalam rumah itu.
.
Walau bagaimanapun ada juga jenis solat-solat sunat yang lebih afdal dikerjakan di masjid, iaitu solat sunat yang disuruh mengerjakannya secara berjamaah.
.
Solat-solat sunat yang dianjurkan mengerjakannya secara berjemaah seperti solat sunat Aidil Fitri, solat Aidil Adha, solat sunat tarawih, solat minta hujan, solat gerhana matahari, gerhana bulan dan sebagainya.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.