Wednesday, February 25, 2009

DOSA KEPADA MANUSIA

Jika dosa itu ada sangkut-pautnya dengan manusia ditambah lagi satu syarat, iaitu minta maaf kepada orang bersangkutan atau tempat kita mengerjakan kesalahan. Dosa yang ada sangkut-paut dengan manusia misalnya mengumpat orang lain, mencacinya, menuduhnya berzina, mencemarkan nama baiknya, mengambil hartanya dan sebagainya.
.
Dosa-dosa seperti itu tidak memadai hanya bertaubat kepada Allah, tetapi mesti minta maaf kepada orang bersangkutan. Kalau dia maafkan, bersihlah kesalahan kita, tetapi kalau tidak dia maafkan kita tetap berdosa.
.
Nampaknya lebih mudah menyelesaikan kesalahan kepada Allah daripada kesalahan kepada Bani Adam atau manusia. Ini kerana Allah lebih mudah memaafkan kesalahan daripada manusia. Ditambah lagi kalau dosa kepada manusia terkadang kita ingin minta maaf tetapi orangnya tidak tahu di mana lagi atau mungkin sudah meninggal dunia.
.
Kalau dosa kepada manusia itu merupakan hutang kepadanya wajib dibayar hutang itu. Kecuali kalau dia mengatakan sudah dimaafkannya dan tidak perlu dibayar lagi, barulah dianggap selesai walaupun hutang tidak dibayar.
.
Kalau dosa itu merupakan harta yang dirampas daripada seseorang atau dicuri, maka hendaklah harta itu dikembalikan. Kalau kita mencuri selipar orang misalnya, tidak boleh kita minta maaf saja kepadanya sementara seliparnya tetap saja kita simpan.
.
Dosa kepada sesama insan ini sepatutnya kita lebih berhati-hati kerana berat akibatnya. Kalau kita mempunyai dosa kepada orang lain, di akhirat nanti sebahagian pahala kita diambil dan diberikan kepada orang yang kita melakukan kesalahan itu. Kalau amal kita tidak mencukupi untuk menebusnya, dosanya diambil kemudian ditimpakan kepada kita. Dan inilah yang dikatakan orang muflis di padang mahsyar nanti.
.
Pernah dahulu Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sababat beliau: "Tahukah kamu siapa orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis menurut pendapat kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dirham, dinar dan barang-barang di rumah."
.
Kemudian Rasulullah saw menjelaskan "Orang yang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solatnya, pahala zakat dan puasanya, tetapi dia datang dalam keadaan telah memaki si fulan, telah menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul yang lain. Maka diberikanlah kepada si fulan kebaikannya yang ini, kepada si fulan kebaikan yang ini dan seterusnya.
.
Kalau sudah habis kebaikannya sebelum dia selesai membayar akibat dari kesalahan-kesalahannya itu, maka diambillah dosa-dosa mereka (si fulan dan fulan), kemudian ditimpakan kepadanya. Kemudian dia dicampakkan ke neraka.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.