Monday, February 23, 2009

ALLAH MAHA PENGAMPUN

Firman Allah:
Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat, beriman, beramal, soleh, kemudian tetap dijalan yang benar. (Thaha: 82)
.
Banyak lagi ayat lain yang menerangkan kepemurahan Allah serta menerangkan bahawa Allah Maha Pengampun. Allah akan mengampuni dosa-dosa hambaNya walaupun dosa si hamba itu sebanyak pasir di padang pasir atau sebanyak buih di laut. Allah mengampuni semua dosa walau sebesar apa pun selain dosa menyekutukan Allah. Ini semua dengan syarat, iaitu asalkan meminta ampun kepada Allah dengan sebenar-benar taubat atau yang diistilahkan dengan taubatan nasuha. Begitu juga asalkan bukan bertaubat ketika nyawa terancam' ketika ghargharah dan ketika matahari sudah terbit dari barat.
.
Dalam hadis pun banyak diceritakan tentang keampunan Allah yang amat luas itu. Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah bersabda:
Seandainya kamu bersalah, sehingga sampailah kesalahan kamu itu mencapai langit, kemudian kamu bertaubat, maka Allah akan menerima taubat kamu. (H.R. Muslim)
.
Untuk membuktikan betapa hebatnya ampunan dari Allah, marilah kita lihat riwayat ini. Dari Abu Said Al-Khudri, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Ada di antara umat sebelum kamu orang yang pernah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Kemudian dia bertanya kepada orang yang paling alim di negeri itu, lalu dia pun ditunjukkan kepada seorang Rahib. Datanglah dia kepadanya dan bercerita bahawa dia telah membunuh sebanyak 99 orang. Dia bertanya kepada rahib apakah Allah masih bersedia mengampuni dosanya. Rahib itu mengatakan bahawa dosa si pembunuh itu tidak akan diampuni. Kerana kesal, maka dia membunuh rahib itu, sehingga genaplah seratus orang yang sudah dibunuhnya."
.
Kemudian dia bertanya lagi kepada orang lain siapakah agaknya orang yang paling alim untuk tempat bertanya. Setelah mendapat petunjuk dari masyarakat, dia pergi lagi menjumpai seorang alim. Kepada orang alim itu dia berkata: "Saya ini adalah orang yang banyak dosa. Saya telah membunuh dan menghilangkan nyawa seratus orang. Apakah Allah masih mahu mengampuni dosaku kalau aku minta ampun kepadaNya?"
.
Orang alim itu menjawab: "Ya, Allah akan mengampuni dosamu, siapakah yang akan mendinding di antara Allah dan antara taubat?" Pergilah ke kampung ini.. dan ini.., di sana akan engkau jumpai orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah dengan baik. Ikutlah engkau bersama mereka menyembah Allah. Jangan pulang ke kampungmu kerana di sana masyarakatnya jahat belaka."
.
Si pembunuh yang ingin bertaubat itu berangkat menuju kampung yang ditunjukkan oleh orang alim itu. Rupanya sampailah saat yang sudah ditentukan Allah, di tengah perjalanan dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia dipanggil ke hadirat Allah SWT.
.
Datanglah dua malaikat memperebutkan jasad lelaki itu. Malaikat yang datang itu ialah malaikat rahmat dan malaikat azab. Malaikat rahmat berkata: "Ini adalah bidang kuasa saya, sebab dia dalam perjalanan ingin bertaubat kepada Allah" Berkata pula malaikat azab: "Dia telah membunuh manusia sebanyak seratus orang dan dia tidak pernah mengerjakan kebaikan selama ini, maka ini adalah urusan saya."
.
Maka datang malaikat yang menyamar seperti manusia. Dia berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata; "Saya lihat kamu bertengkar mengenai lelaki ini. Sekarang kita ambil jalan keluarnya. Mari kita ukur jarak antara tempat yang dia tuju dengan tempat kampung dia tinggal selama ini. Ke mana di antara keduanya yang paling dekat, maka kesitulah dia dihukumkan."
.
Mereka mengukurnya, ternyata dia sudah lebih dekat kepada tempat yang dia tuju, iaitu kampung orang yang masyarakatnya baik dan mengabdikan diri kepada Allah. Maka, akhirnya malaikat rahmat itulah yang mengurusnya. Bererti semua kesalahan dan dosa-dosanya telah diampuni Allah.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.