Tuesday, February 24, 2009

SYARAT-SYARAT TAUBAT

Syarat-syarat taubat ialah:
1. Berhenti melakukan dosa.
2. Menyesal telah melakukannya.
3. Berazam tidak akan kembali lagi melakukannya untuk selamanya.
.
Jika salah satu dari tiga perkara ini tidak ada maka taubatnya tidak sah. Untuk lebih jelasnya marilah kita bahas satu persatu dari ketiga-tiga syarat itu.
.
Berhenti melakukan dosa maksudnya hendaklah taubat dilakukan setelah meninggalkan dosa. Orang yang selalu curang dalam berniaga misalnya, sama ada curang kerana mengurangi timbangan, menjual barangan palsu dan sebagainya, maka hendaklah dia hentikan dahulu perbuatan curang itu kemudian baru bertaubat. Ramai orang yang curang atau menipu dalam perniagaan berulangkali menyatakan taubat tetapi dia tidak meninggalkan perbuatannya. Misalnya setiap selesai solat dia mengucap istighfar berulangkali kemudian berkata dalam bahasanya sendiri: "Ya Allah ampunilah dosaku." Taubat seperti itu tidak sah.
.
Begitu jugalah dosa-dosa lainnya yang terdiri dari berzina, meminum arak, mencuri, berjudi, memakan riba dan sebagainya. Mesti ditinggalkan dahulu perbuatan dosa itu kemudian barulah bertaubat. Bahkan tidak cukup dengan meninggalkan satu jenis dosa saja. Misalnya dia tinggalkan dosa menipu dalam perniagaan dan dia teruskan dosa-dosa lain seperti yang disebutkan di atas.
.
Menyesal telah melakukan dosa maksudnya hendaklah timbul rasa penyesalan dalam hatinya. Ada juga dosa yang menjadi kebanggaan bagi sesetengah orang, misalnya dosa minum arak dan main perempuan. Ada orang yang banyak main perempuan semasa mudanya berkata dalam hatinya setelah dia berkahwin atau setelah tua: "Nasib baiklah aku puaskan semasa mudaku." Terkadang orang yang berfikir seperti itu mengaku dia sudah bertaubat. Katanya dia sudah bertaubat tetapi hatinya mengatakan begitu dan bukan menyesal. Kalau tidak timbul rasa penyesalan bererti taubatnya tidak sah. Terkadang dia menceritakan pula kepada orang lain. Kalau dia cerita kepada orang lain bukan hanya dosa lama tidak terampun, bahkan timbul pula dosa baru. Dia mendapat dosa jika menceritakannya kepada orang lain.
.
Berazam tidak melakukannya lagi untuk selamanya maksudnya hendaklah diputuskan dalam hati tidak akan mengulanginya lagi. Kalau hatinya masih separuh-separuh, tidak sah taubatnya. Misalnya dia berkata, "Ya Allah, ampunilah dosaku berzina itu" Tetapi hatinya masih ingin melakukannya. Taubat seperti ini tidak sah. Ini sama juga dengan yang sebelumnya, iaitu berazam untuk tidak kembali melakukan semua jenis dosa. Tidak boleh berazam untuk tidak mengulangi menipu pelanggan tetapi masih ingin main perempuan.
.
Apakah taubat seseorang itu sah atau tidak, apakah termasuk taubat nasuha atau taubat pura-pura, hanya Allah yang dapat menentukannya. Allah tidak dapat ditipu kerana Dia tahu apa yang ada dalam hati manusia.
.
Apakah seseorang itu betul menyesal atau tidak, apakah dia betul berazam tidak akan melakukannya lagi, hanya orang yang bertaubat itu yang tahu. Dan yang pasti Allah pun tahu. Biasanya kalau seseorang itu betul-betul menyesal, akan timbul kesannya kepada orang yang bertaubat. Orang yang betul menyesal sudah pasti disusuli dengan linangan air mata. Orang yang menyesal biasanya akan berubah sikapnya. Orang yang menyesal akan berubah tutur katanya, cara berpakaiannya, amalannya, pergaulannya dan sebagainya.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.