Friday, February 27, 2009

SOLAT TAUBAT

PENGERTIAN SOLAT TAUBAT
Solat taubat ialah solat yang dilakukan kerana ingin bertaubat kepada Allah. Sama halnya dengan solat-solat sunat lainnya seperti solat hajat, istikharah dan sebagainya. Solat hajat dilakukan kerana suatu hajat, solat istikharah dikerjakan kerana ingin meminta pertimbangan atau petunjuk dari Allah. Solat taubat dikerjakan kerana ingin mendapat maghfirah atau keampunan daripada Allah. Orang yang insaf dan menyedari bahawa dirinya telah melakukan pelanggaran terhadap hukum-hukum Allah, hendaklah bertaubat dengan mengerjakan solat taubat.
.
Bertaubat kepada Allah, boleh dengan mengucap istighfar (ucapan minta ampun) yang disertai dengan perasaan menyesali perbuatan maksiat yang telah dikerjakan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Itu saja pun sudah cukup untuk membersihkan diri dari dosa tetapi lebih baik lagi, bahkan nampak lebih sungguh-sungguh, jika diawali dengan mengerjakan solat sunat taubat.
.
Cara mengerjakan solat sunat taubat sama seperti solat-solat lainnya, iaitu dimulai dengan takbir (takbiratul ihram) dan diakhiri dengan mengucap salam. Bacaannya semua sama dengan solat biasa. Hanya ada perbezaan sedikit tentang ketentuan surah yang dibaca, itu pun sebenarnya tidak disyaratkan membaca surah tertentu. Cara mengerjakannya akan diterangkan kemudian.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.