Tuesday, March 3, 2009

Pengeringan dengan Cahaya Matahari atau Udara dan Hilang Kesan Najis

Cara ini dapat membersihkan bumi dan semua benda yang melekat pada bumi seperti pokok, rumput dan batu hampar dengan tujuan untuk ber-sembahyang di atasnya, bukan dengan tujuan bertayammum dengannya, tetapi ini berlainan dengan hamparan, tikar, pakaian, badan (tubuh) dan setiap benda yang boleh dialih. Benda-benda yang boleh dialihkan ini jika terkena najis mesti dibasuh untuk membersihkannya.
.
Tanah yang terkena najis boleh menjadi bersih atau suci dengan cara dikeringkan (melalui matahari atau udara) adalah berdasarkan kepada kaedah yang bermaksud: "Bersih tanah ialah dengan keringnya," juga berdasarkan Hadith riwayat Ibn Umar:
Terjemahan: Aku sering tidur di masjid Rasulullah s.a.w. semasa aku masih muda dan belum berumah tangga. Aku sering melihat anjing kencing dan berkeliaran dalam masjid, tetapi tidak ada siapa pun yang memercikkan air ke atasnya.
.
Sebab dibezakan antara sembahyang dan tayammum dalam kes ini ialah yang dituntut untuk sahnya sembahyang ialah suci (taharah), manakala yang dituntut untuk sahnya tayammum ialah sifat menyucikan. Tanah yang terkena najis apabila kering kerana pancaran matahari hanya menghasilkan taharah (suci) bukan tahuriyyah (menyucikan). Sesuatu yang suci tidak semestinya menyucikan. Sedangkan yang menjadi syarat dalam tayammum ialah tanah yang menyucikan sama seperti syarat air yang menyucikan dalam wudu’.
.
Ulama' selain Mazhab Hanafi mengatakan bumi tidak menjadi suci melalui pengeringannya (cahaya matahari atau udara). Sesuatu bumi yang terkena najis mestilah dibasuh dengan air. Oleh sebab itu, jika bumi, kolam, lopak, perigi, tempat takungan air dan lain-lain terkena najis, maka ia dapat disucikan dengan cara memperbanyakkan curahan air ke atasnya sama ada air hujan ataupun selainnya, sehingga hilang zat najis itu, seperti terdapat dalam Hadith mengenai seorang Arab Badawi kencing di dalam masjid Nabi Muhammad s.a.w. lalu disuruh oleh Baginda supaya disimbahkan sebaldi air ke atasnya.
.
Sumber: Wahbah al-Zuhaili (1994) FIQH & Perundangan Islam - Jilid I. [Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.] Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.