Sunday, March 1, 2009

KETIGA: JENIS-JENIS PENYUCI

Taharah adalah wajib menurut syara’. Kewajipannya adalah sabit menurut dalil qat'i yang diijma'kan.
.
Perkara yang diwajibkan ialah wudu’, mandi junub, mandi kerana menyucikan haid dan mandi nifas dengan air. Jika air tidak ada atau apabila tidak dapat menggunakan air hendaklah digantikannya dengan tayammum dan diwajibkan juga menghilangkan najis.
.
Ahli-ahli fiqh bersependapat mengatakan harus bersuci dengan air yang menyucikan atau air yang mutlak, iaitu air yang disebut sebagai "air" sahaja tanpa disertakan dengan sebarang sifat seperti air musta'mal (yang telah digunakan) atau sebarang sandaran seperti air mawar. Allah S.W.T. telah berfirman:
Terjemahan: ... Dan Kami turunkan dari langit air yang menyucikan.... (Surah al-Hijr 15:22)
.
Demikian juga Allah S.W.T. berfirman lagi:
Terjemahan: ... Dan Allah menurunkan ke atas kamu air daripada langit supaya ia menyucikan kamu dengannya....(Surah al-Anfal 8:11)
.
Ahli-ahli fiqh juga bersependapat mengatakan harus bersuci dengan cara sapu dengan kertas atau dengan batu dalam kes istinja’. Ini bermakna harus menggunakan kertas atau batu untuk menghilangkan najis kencing dan berak dengan syarat air kencing atau tahi itu tidak mencemarkan kawasan tepi tempat keluarnya. Para ahli fiqh juga bersependapat mengatakan bahawa bersuci dengan tanah adalah dikira sebagai suci dari segi hukum sahaja [taharah hukmiyyah). Mereka juga bersependapat mengatakan bahawa arak menjadi suci dengan cara ia bertukar menjadi cuka.
.
Walau bagaimanapun, ahli-ahli fiqh berselisih pendapat tentang pensuci-pensuci lain dan berikut adalah pendapat-pendapat mereka.
.
Cara-cara Bersuci Menurut Mazhab Hanafi
1. Air Mutlak Sekalipun Air Musta'mal
Penggunaan air ini menghasilkan kedua-dua taharah haqiqi dan hukmi (hadath dan Janabah). Contohnya ialah seperti penggunaan air hujan, air laut, air perigi, air mata air dan air yang bertakung di kawasan lembah. Allah S.W.T. menamakan jenis air ini sebagai menyucikan (tahur), iaitu disebut dalam firman-Nya:
Terjemahan: ... Dan Kami turunkan dari langit air yang menyucikan.... (Surah al-Hijr 15:22)
.
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:
Terjemahan: Air yang suci tidak dinajiskan oleh apa-apa kecuali yang berubah warna, rasa ataupun baunya.
.
Kalimah al-Tahur bermakna suci pada dirinya dan dia dapat menyu­cikan pada yang lain.
.
2. Cecair yang Suci
Cecair yang suci ialah cecair yang mengalir apabila diperah cecair tersebut ia dapat menghilangkan najis. Ulama’ Hanafi dan juga para ulama’ yang lain bersependapat mengatakan bahawa cecair yang suci tidak dapat menghilangkan hadath hukmi (iaitu hadath-hadath yang boleh hilang dengan wudu’ dan mandi), sebab hadath hukmi hanya dapat dihilangkan dengan air. Ini ditetapkan oleh nas al-Qur'an. Penggunaan air untuk menghilangkan hadath hukmi merupakan suatu kemudahan kepada manusia.
.
Penggunaan cecair yang suci dapat menghilangkan taharah haqiqi, (iaitu penghapusan najis haqiqi daripada pakaian dan badan) menurut Abi Hanifah dan Abu Yusuf. Pendapat ini adalah difatwakan. Contoh-contoh cecair yang suci ialah air mawar, air bunga, cuka, air tumbuh-tumbuhan, air buah-buahan, air kacang yang jika direbus dengan air kemudian apabila disejukkan akan menjadi beku dan air daripada sebarang bahan yang jika diperah akan mengeluarkan air, termasuk juga peluh yang dapat membersihkanjari. Jika labu susu seorang ibu menjadi najis kerana muntah anaknya, maka ia menjadi suci atau bersih dengan cara anaknya itu rnenghisap susunya tiga kali hisap. Mulut seorang peminum arak menjadi bersih dengan bertukar air liur.
.
Sekiranya suatu bahan itu tidak mengalir seperti madu, minyak sapi, lelemak, minyak, susu, walaupun susu yang dimasamkan, sup dan sebagainya, maka kesemua bahan ini tidak dapat digunakan untuk bersuci sebab bahan-bahan ini tidak dapat menghilangkan najis, kerana pengha pusan najis hanya berlaku dengan cara mengeluarkan bahagian-bahagian najis bersama-sama dengan bahan yang menghilangkannya sedikit demi sedikit dan ini hanya boleh dilakukan oleh bahan yang mengalir apabila diperah. Bahan cecair seperti ini adalah sama seperti air yang dapat menghilangkan bahagian-bahagian najis, sebab cecair yang mengalir adalah halus dan dapat meresap ke dalam bahagian-bahagian najis dan menghilangkannya kemudian najis itu dapat dikeluarkan dengan cara pelahan.
.
Muhammad al-Hasan, Zufar dan ulama' selain ulama' Hanafi tidak membenarkan penggunaan cecair untuk menghilangkan najis. Ini disebabkan sifat air yang menyucikan ditetapkan oleh syara' dan syara’ hanya mengiktiraf bersuci hanya dengan air dan tidak selainnya. Oleh itu, bahan-bahan yang lain tidak boleh disamakan dengannya.
.
Harus bersuci dengan air yang bercampur dengan sedikit bahan yang suci yang mengubah salah satu sifat air itu seperti air keruh dan air yang bercampur dengan sabun, bahan pencuci atau kunyit selagi air itu masih halus dan mengalir, kerana air itu masih dinamakan air. Ini disebabkan susah untuk mengawasi bahan-bahan seperti tanah, daun dan pokok supaya tidak bercampur dengan air. Jika air itu menjadi selut, iaitu tanah lebih banyak daripada air atau jika ia bercampur dengan sabun, maka sabun atau bahan pencuci itu lebih tebal ataupun jika bercampur dengan kunyit dan menjadi pencelup (pewarna kain), maka tidak harus bersuci dengannya.
.
Sumber: Wahbah al-Zuhaili (1994) FIQH & Perundangan Islam - Jilid I. [Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.] Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
.