Saturday, February 28, 2009

KEDUA: SYARAT-SYARAT WAJIB TAHARAH

Apabila badan atau pakaian ataupun tempat terkena najis, maka ia wajib dibersihkan kerana firman Allah S.W.T.:
Terjemahan: Dan pakaian engkau hendaklah engkau bersihkan. (Surah al-Muddaththir 74:4)
.
Demikian juga firman Allah S.W.T.:
Terjemahan: ... "Bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah dan Masjid al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang yang bertawaf, dan orang yang beri'tikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang yang ruku' dan sujud. (Surah al-Baqarah 2:125)
.
Jika pakaian dan tempat wajib dibersihkan, maka pembersihan tubuh badan adalah lebih utama, kerana ia lebih diutamakan kepada orang yang bersembahyang.
.
Sesiapa yangwajib bersembahyang, maka wajib ia melakukan taharah. Kewajipan ini bergantung kepada 10 syarat berikut:
.
1. Islam
Ada pendapat yang mengatakan bahawa syarat pertama ialah sampai dakwah. Berdasarkan pendapat yang pertama, maka ia tidak wajib ke atas orang kafir, tetapi berdasarkan pendapat yang kedua orang kafir juga wajib melakukannya. Perbezaan pendapat ini berlaku akibat daripada perbezaan pendapat tentang prinsip Usul, iaitu sama ada orang kafir diperintah melakukan hukum-hukum cabang syariah atau tidak. Jumhur ulama' mengatakan bahawa orang kafir diperintah melakukan hukum-hukum cabang ibadah. Ini bermakna mereka akan dihukum di akhirat dengan hukuman tambahan selain hukuman meninggalkan keimanan kepada Allah.
.
Oleh sebab itu, mereka akan menghadapi dua hukuman, iaitu hukuman kerana tidak beriman dan juga hukuman kerana meninggalkan hukum-hukurn cabang agama. Mazhab Hanafi mengatakan bahawa orang kafir tidak diperintahkan melakukan hukum-hukuin cabang syariat. Oleh itu, di akhirat nanti mereka hanya dikenakan satu hukuman, iaitu hukuman kerana meninggalkan keimanan. Jadi, perbezaan pendapat ini adalah mengenai hukuman di akhirat. Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak ini bersependapat mengatakan bahawa pertikaian pendapat mereka tidak melahirkan kesan mengenai hukum-hukum dunia. Oleh itu, orang kafir selagi mereka kafir mereka tidak sah menunaikan ibadah, jika mereka menganut Islam, maka mereka tidak dituntut melakukan qada'. Berdasarkan ini, maka tidak sah sembahyang yang dilakukan oleh seseorang yang kafir. Ini dipersetujui oleh seluruh ulama' (ijma).
.
Jika seorang murtad kembali menganut Islam, maka dia tidak perlu mengqada' sembahyang-sembahyang yang ditinggalkannya semasa mur-tadnya, menurut pendapat Jumhur, tetapi menurut ulama' Syafi'i ia wajib melakukan qada'.
.
2. Berakal
Taharah tidak diwajibkan ke atas orang gila dan orang pitam kecuali jika kedua-dua mereka siuman ketika waktu masih ada, tetapi orang mabuk tetap diwajibkan taharahnya.
.
3. Baligh
Tanda baligh (sampai umur) ada lima, iaitu mimpi, tumbuh bulu, datang haid, mengandung dan cukup umur 15 tahun. Ada pendapat mengatakan 17 tahun. Abu Hanifah mengatakan 18 tahun. Oleh sebab itu, tidak wajib taharah ke atas kanak-kanak. Apabila kanak-kanak itu telah sampai umur tujuh tahun hendaklah disuruh mereka melakukan taharah dan apa-bila umur mereka 10 tahun hendaklah dipukul jika enggan. Sekiranya seorang kanak-kanak sedang mendirikan sembahyang kemudian dia menjadi baligh dalam waktu yang masih ada atau dalam masa sembahyang itu, maka menurut ulama' Mazhab Maliki dia mesti mengulangi taharah dan sembahyangnya, tetapi menurut Imam Syafi’i kanak-kanak tersebut tidak diwajibkan taharah,
.
4. Berhenti Darah Haid dan Nifas
.
5. Masuk Waktu
.
6. Tidak Tidur
.
7. Tidak Lupa
.
8. Tidak Dipaksa
Menurut ijma’ ulama’, orang yang tertidur, orang yang terlupa dan orang yang dipaksa mesti mengqada’ sembahyang yang telah luput.
.
9. Ada Air atau Debu Tanah yang Suci
Sekiranya kedua-duanya tidak ada, maka seseorang berkenaan itu mesti mendirikan sembahyang dan mengqada'nya setelah didapati air atau tanah. Ada pendapat mengatakan ia tidak perlu qada’ dan ada pula pendapat mengatakan ia tidak perlu sembahyang, tetapi wajib mengqada'nya. Perkara ini akan dibincangkan secara terperinci dalam perbincangan mengenai tayammum.
.
10. Berdaya Melakukan Taharah Setakat yang Boleh
.
Sumber: Wahbah al-Zuhaili (1994) FIQH & Perundangan Islam - Jilid I. [Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.] Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
.

Kepentingan Taharah

Taharah amat penting dalam Islam sama ada taharah haqiqi, iaitu suci pakaian, badan dan tempat sembahyang daripada najis ataupun taharah hukmi, iaitu suci anggota wudu' daripada hadath, dan suci seluruh anggota zahir daripada janabah (junub); sebab ia menjadi syarat yang berkekalan bagi sah sembahyang sebanyak lima kali sehari. Oleh kerana sembahyang adalah perlakuan menghadap Allah S.W.T., maka menunaikannya dalam keadaan suci adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah S.W.T. Walaupun hadath dan Janabah bukanlah najis yang dapat dilihat, tetapi ia tetap merupakan najis ma'nawi yang membawa kepada kotor tempat yang terkenanya. Oleh itu, apabila ia ada, maka ia mencacatkan penghormatan dan berlawanan dengan prinsip kebersihan. Untuk menyucikannya, maka perlulah mandi. Jadi, jelaslah taharah dapat menyucikan rohani dan jasmani sekaligus.
.
Islam sangat mengambil berat supaya penganutnya sentiasa bersih dalam dua perkara; maddi (lahiriah) dan ma'nawi (rohani). Ini membuktikan bahawa Islam sangat menjaga kebersihan dan membuktikan Islam sebagai contoh tertinggi bagi kecantikan dan penjagaan kesihatan diri dan pembinaan tubuh badan dalam bentuk yang paling sempurna, juga menjaga persekitaran dan masyarakat supaya tidak menjadi lemah dan berpenyakit kerana membasuh anggota yang lahir yang terdedah kepada debu, tanah dan kuman-kuman setiap hari serta membasuh badan dan mandi setiap kali berjunub akan menjadikan tubuh badan bersih daripada kekotoran. Sudah ternyata dari segi kedoktoran bahawa cara yang paling baik untuk mengubati penyakit berjangkit dan penyakit-penyakit lain ialah dengan menjaga kebersihan. Menjaga kebersihan ini adalah suatu langkah pengawasan diri daripada terkena penyakit. Sesungguhnya pengawasan adalah lebih baik daripada mengubati.
.
Allah S.W.T. memuji orang yang bersuci [mutatahhirin] berdasarkan firman-Nya:
Terjemahan:... Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri. (Surah al-Baqarah 2:222)
.
Allah S.W.T. memuji ahli Masjid Quba' melalui firmanNya:
Terjemahan: ... Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka membersihkan (menyucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (Surah al-Taubah 9:108) .
.
Seseorang Muslim hendaklah menjadi contoh kepada orang lain dalam soal kebersihan dan kesucian baik dari segi zahir mahupun batin. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sekumpulan sahabatnya:
Terjemahan: Apabila kamu datang ke tempat saudara-saudara kamu, hendaklah kamu perelokkan atau kemaskan kenderaan dan pakaian kamu sehingga kamu menjadi tumpuan di antara manusia kerana Allah tidak suka perbuatan keji dan keadaan tidak teratur.
.
Sumber: Wahbah al-Zuhaili (1994) FIQH & Perundangan Islam - Jilid I. [Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.] Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
.

Friday, February 27, 2009

Jenis Taharah

Daripada takrif ini, jelas menunjukkan bahawa taharah terbahagi kepada dua jenis, iaitu taharah hadath (menyucikan hadath) dan taharah khabath (menyuci kekotoran).
.
Menyuci hadath adalah khusus pada badan, manakala menyuci kekotoran adalah merangkumi badan, pakaian dan tempat. Menyuci hadath terbahagi kepada tiga, iaitu hadath besar dengan cara mandi, menyuci hadath kecil dengan cara wudu’ dan suci gantian kepada kedua-duanya, apabila tidak dapat dilakukan kerana keuzuran, dan penyucian ketiga adalah melalui tayammum. Menyuci kekotoran (khabath) pula adalah dengan tiga cara, iaitu basuh, sapu dan merenjis.
.
Oleh itu, jelaslah bahawa taharah adalah merangkumi wudu’, mandi, menghilangkan najis, tayammum dan perkara yang berkaitan dengannya.
.
Wahbah al-Zuhaili (1994) FIQH & Perundangan Islam - Jilid I. [Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.] Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
.

PERTAMA: PENGERTIAN DAN KEPENTINGAN TAHARAH

Taharah daripada segi bahasa bererti bersih dan suci daripada kekotoran atau najis hissi seperti kencing atau lainnya dan najis ma'nawi seperti perkara yang aib dan maksiat.
.
Dari segi syara', taharah ialah bersih daripada najis sama ada najis haqiqi, iaitu khabath (kekotoran) atau najis hukmi, iaitu hadath.
..
Khabath ialah sesuatu yang kotor menurut syara'. Manakala hadath pula ialah sesuatu sifat syara' yang ada pada anggota dan ia menghapuskan taharah.
.
Imam al-Nawawi mentakrifkan taharah sebagai mengangkat hadath atau menghilangkan najis atau yang serupa dengan kedua-duanya dari sudut bentuk atau maknanya. Penambahan akhir ke atas takrif yang dibuat oleh ulama Mazhab Hanafi adalah bertujuan supaya hukum-hukum berikut, iaitu tayammum, mandi sunat, membaharui wudu', basuhan kali kedua dan ketiga dalam hadath dan najis, menyapu telinga, berkumur dan lain-lain sunat taharah, taharah seorang mustahadah dan seorang yang tidak lawas kencing.
.
Takrif yang dibuat oleh ulama Mazhab Maliki dan Hanbali adalah sama dengan takrif ulama' Mazhab Hanafi di mana mereka mengatakan sebagai menghapuskan apa yang menghalang sembahyang, iaitu hadath atau najis dengan menggunakan air ataupun menghapuskan hukumnya dengan tanah.
.
Wahbah al-Zuhaili (1994) FIQH & Perundangan Islam - Jilid I. [Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.] Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
.

FASAL 1 - KONSEP TAHARAH

Ahli-ahli fiqh mendahulukan perbincangan mengenai taharah sebelum dari perbincangan mengenai sembahyang. Alasannya, taharah ialah anak kunci dan syarat sah sembahyang. Syarat mestilah didahulukan dari mashrut (perkara yang perlu kepada syarat). Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
Terjemahan: Anak kunci sembahyang ialah suci (tuhur), yang mengharamkan pelakuan yang dihalalkan sebelum sembahyang ialah takbiratul-ihram dan yang menghalalkan perkara yang diharamkan di dalam sembahyang ialah salam
.
Sabda Baginda juga:
Terjemahan: Suci adalah sebahagian daripada iman.
.
Dalam fasal ini, dibincangkan perkara berikut:
  • Pertama Pengertian dan kepentingan tahdrah.
  • Kedua Syarat wajib taharah.
  • Ketiga Jenis-jenis penyuci.
  • Keempat Jenis-jenis air.
  • Kelima Hukum tentang sisa dan telaga.
  • Keenam Jenis-jenis barang yang suci.
.
Wahbah al-Zuhaili (1994) FIQH & Perundangan Islam - Jilid I. [Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.] Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

FIQH - Perundangan Islam

Assalamualaikom saudara-saudari pembaca... di dalam paparan selanjutnya, saya akan memasukkan pembacaan saya tentang Fiqh. Tujuan saya hanya satu iaitu untuk berkongsi bahan pembacaan saya dengan semua yang berminat. Saya akan masukkan bacaan saya tanpa tokok tambah seperti mana bahan yang saya masukkan sebelum ini.
.
Kitab yang saya baca adalah seperti berikut:
.
FIQH & Perundangan Islam - Jilid I
Wahbah al-Zuhaili
Penterjemah: Syed Ahmad Syed Hussain et al.
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kuala Lumpur
1994

HIKMAH SOLAT TAUBAT

Hikmah ertinya kebaikan yang tersembunyi. Semua peraturan yang digariskan Allah ada hikmah atau kebaikannya. Kebaikan dimaksud bukan untuk Allah tetapi untuk manusia. Namun banyak di antara yang ditetapkan Allah itu tidak disebutkan hikmahnya dalam Al-Quran atau hadis. Dalam keadaan demikian maka para ulamalah yang mengatakan apa hikmahnya.
.
Begitu juga dengan solat taubat, disuruh kita mengerjakannya kerana ada hikmah yang tersembunyi. Hikmah solat taubat ialah untuk membersihkan dosa-dosa kita. Memang dengan mengucap istighfar saja pun (kalau kita betul-betul bertaubat), Allah akan mengampuni dosa-dosa kita. Namun supaya kita nampak lebih sungguh-sungguh bertaubat, perlulah kita mengerjakan solat sunat taubat. Ada orang yang mengucap istighfar (minta ampun), setiap selesai mengerjakan solat fardu tetapi dosa yang selalu dia kerjakan belum dia tinggalkan dan tidak ada perasaan menyesal. Pernyataan minta ampunnya itu hanya di bibir belaka. Orang seperti itu sudah pasti lebih baik mengerjakan solat taubat supaya nampak lebih serius taubatnya.
.
Cara yang lebih baik ialah dikerjakan solat taubat di rumah tengah malam atau menjelang sahur. Ketika sujud yang terakhir dilamakan sujudnya dan direnungkan segala dosa yang telanjur dikerjakan dan direnungkan pula bagaimana dahsyatnya siksa Allah. Begitu juga setelah memberi salam diangkat tangan sambil memohon keampunan dari Allah. Hendaklah dingat-ingat segala kesalahan yang dilakukan, hendaklah direnungkan bagaimana beraninya kita melanggar perintah Allah dan kita bayangkan betapa hebatnya siksa Allah. Di samping itu hendaklah kita yakin bahawa Allah sebenarnya rela memaafkan kesalahan kita asalkan kita betul-betul bertaubat. Bererti perlu ada khauf (rasa takut) dan raja (rasa harap). Maksudnya perlu takut terhadap siksa Allah dan perlu pula yakin bahawa Allah yang Maha Pengampun akan mengampuni segala dosa-dosa kita.
.
Begitu juga tidak ada ukuran atau batas berapa kali kita diperlukan mengerjakan solat taubat. Lebih banyak dan lebih sering dikerjakan sudah tentu lebih baik. Namun tidak ada gunanya solat taubat berulangkali dikerjakan kalau tidak betul-betul bertaubat dari dosa-dosa yang telah dikerjakan.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

TEMPAT MELAKSANAKAN SOLAT TAUBAT

Tidak ada tempat tertentu untuk mengerjakan solat taubat, ertinya boleh dikerjakan di mana saja. Solat taubat boleh dikerjakan di masjid, di rumah dan tempat-tempat lainnya yang sesuai untuk mengerjakan solat.
.
Dalam hal ini hanya ada timbul tentang tempat yang lebih afdal atau lebih baik. Solat-solat sunat sebenarnya lebih baik dikerjakan di rumah berbanding masjid. Dari Zaid bin Tsabit, Rasulullah saw bersabda:
Solat seseorang di rumahnya lebih afdal daripada solatnya di masjidku ini (masjid Nabawi di Madinah), kecuali solat yang wajib. (H.R. Abu Daud)
.
Dari Umar ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat seseorang di rumahnya adalah merupakan cahaya, maka sesiapa yang suka, maka buatlah cahaya di rumahnya." Hadis itu diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
.
Dari Abdullah bin Umar katanya Rasulullah SAW bersabda:
Jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumah kamu, dan janganlah jadikan rumah kamu itu seperti kuburan. (H.R. Ahmad dan Abu Daud)
.
Maksud menjadikan rumah macam kuburan ialah rumah-rumah yang tidak pernah orang solat di dalamnya dan tidak pernah kedengaran Al-Quran dibacakan disana.
.
Hadis-hadis tersebut menerangkan bahawa solat-solat sunat di rumah lebih afdal daripada solat sunat di masjid, walaupun di masjid Nabawi sekalipun. Dalam hubungan ini Imam Nawawi menjelaskan, sebabnya dianjurkan mengerjakan solat sunat di rumah kerana lebih tersembunyi dan lebih terpelihara daripada riya, juga lebih terpelihara dari perkara-perkara yang dapat membatalkan amal. Dan supaya rumah mendapat berkat dan supaya turun malaikat dan rahmat, serta supaya lari syaitan dari dalam rumah itu.
.
Walau bagaimanapun ada juga jenis solat-solat sunat yang lebih afdal dikerjakan di masjid, iaitu solat sunat yang disuruh mengerjakannya secara berjamaah.
.
Solat-solat sunat yang dianjurkan mengerjakannya secara berjemaah seperti solat sunat Aidil Fitri, solat Aidil Adha, solat sunat tarawih, solat minta hujan, solat gerhana matahari, gerhana bulan dan sebagainya.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

WAKTUNYA MELAKSANAKAN SOLAT TAUBAT

Tidak ada waktu yang dikhususkan untuk mengerjakan solat sunat taubat ini. Boleh dikerjakan siang dan boleh waktu malam, pagi, tengah hari, petang dan sebagainya.
.
Namun demikian lebih baik dikerjakan waktu malam. Dikerjakan tengah malam misalnya, dua pertiga malam atau pada waktu sahur. Ini bukan apa, hanya kerana ingin mendapatkan suasana atau keadaan tenang dan sunyi, supaya lebih khusuk mengerjakannya. Kalau siang mungkin banyak gangguan, sama ada dari suara di luar rumah atau anak-anak kita yang bermain di rumah. Malam kita lebih khusuk, sama ada ketika mengerjakan solat taubat itu atau ketika mengucap istighfar selesai solat. Sudah tentu lebih baik kalau kita merenung segala dosa kita sehingga menitiskan air mata. Kalau boleh kita solat seperti Rasulullah SAW. Baginda Rasul, walaupun maksum dari dosa, pada waktu mengerjakan solat sunat di malam hari selalu sajadah atau tempat sujudnya basah disebabkan air mata Baginda yang suci itu.
.
Jadi, waktunya boleh bila sahaja, sama ada siang atau malam. Waktu lainnya ialah dikerjakan setelah mengerjakan dosa. Sebaiknya setelah mengerjakan dosa terus saja insaf dan segera minta ampun, sama ada dengan mengucap istighfar saja dan lebih baik disertai dengan mengerjakan solat taubat. Tidak boleh ditangguh-tangguhkan taubat. Ditakutkan nanti hati kita semakin berkarat atau kita mati sebelum sempat bertaubat.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

HUKUM MELAKSANAKAN SOLAT TAUBAT

Hukum mengerjakan solat taubat adalah sunat. la tergolong dalam kumpulan atau jenis-jenis solat sunat. Solat taubat ini memang ada disyariatkan dalam Islam. Dalil-dalilnya ada dijumpai dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW
.
Firman Allah:
Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, lalu mereka ingat kepada Allah, kemudian mereka mohon ampun atas dosa-dosa mereka itu. (AH Imran: 135)
.
Dalam menafsirkan ayat itu, Ibnu Katsir mengatakan bahawa sangat dikehendaki kepada orang yang telanjur melakukan dosa sedangkan dia sudah insaf dan teringat untuk bertaubat kepada Allah, supaya dia mengambil wuduk kemudian mengerjakan solat dua rakaat. Sebagaimana diriwayatkan dari Ali r.a., katanya:
"Apabila aku mendengar hadis dari Rasulullah SAW, mudah-mudahan aku diberi manfaat oleh Allah menurut kehendakNya dari hadis itu. Tetapi jika aku mendengar hadis Nabi SAW dari orang lain, aku minta supaya dia bersumpah. Jika dia berani bersumpah, maka saya membenarkannya dan mempercayainya. Dan bahawa Abu Bakar ra menceritakan sebuah hadis kepadaku, dan benarlah Abu bakar itu, bahawa beliau mendengar
.
Rasulullah SAW bersabda:
Tiada seorang pun, yang berdosa, lantas dia berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, melainkan Allah SWT akan mengampuninya. Selanjutnya beliau membaca ayat: Orang-orang yang melakukan perbuatan yang keji atau menganiaya diri mereka sendiri, lalu teringat kepada Allah serta memohon ampun atas segala dosa-dosanya, dan siapakah lagi yang mengampuni dosa kecuali Allah? Lagi pula mereka tidak terus menerus berbuat dosa, sedang mereka mengetahui. Balasan untuk mereka ialah keampunan dari Tuhan mereka serta syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya.
.
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah, Baihaqiy dan Tirmizi. Menurut Tirmizi hadis ini adalah hadis Hasan.
.
Imam Ibnu Katsir juga menyebutkan demikian dalam tafsir Al-Quran Al-Azhim jilid 1 halaman 407. Jamaluddin Al-Qasimiy dalam Al-Qasimiy jilid 4 halaman 977.
.
Di samping itu Muhammad bin Abdul Salam di dalam Al-Sunan Wal Mubtada'at halaman 127, selain mengutip hadis di atas juga mengutip, bahawa Imam Syaukani menyebut sanad ini dalam syarah Al-Hisnul Hasin dengan lafaz:
Tiadalah seorang yang berdosa, kemudian dia berdiri dan bersuci, kemudian dia mengerjakan solat dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, melainkan Allah akan mengampuninya.
.
Selanjutnya Rasulullah saw membaca:
Orang-orang yang melakukan perbuatan yang keji atau menganiaya diri mereka sendiri, lalu dia teringat kepada Allah serta memohon ampun atas dosa-dosa mereka. (Ali Imran: 135 )
.
Hadis ini juga disebut dalam kitab Ibnu Sunniy dan dalam Al-Targhib wa Al-Tarhib.
.
Dengan demikian kiranya dapat dimaklumi bahawa solat taubat dengan cara seperti yang diriwayatkan oleh Abu Bakar ini, iaitu solat dua rakaat, setelah memberi salam memohon ampun kepada Allah, maka ini ada dasarnya dari Sunnah Rasulullah SAW.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

SOLAT TAUBAT

PENGERTIAN SOLAT TAUBAT
Solat taubat ialah solat yang dilakukan kerana ingin bertaubat kepada Allah. Sama halnya dengan solat-solat sunat lainnya seperti solat hajat, istikharah dan sebagainya. Solat hajat dilakukan kerana suatu hajat, solat istikharah dikerjakan kerana ingin meminta pertimbangan atau petunjuk dari Allah. Solat taubat dikerjakan kerana ingin mendapat maghfirah atau keampunan daripada Allah. Orang yang insaf dan menyedari bahawa dirinya telah melakukan pelanggaran terhadap hukum-hukum Allah, hendaklah bertaubat dengan mengerjakan solat taubat.
.
Bertaubat kepada Allah, boleh dengan mengucap istighfar (ucapan minta ampun) yang disertai dengan perasaan menyesali perbuatan maksiat yang telah dikerjakan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Itu saja pun sudah cukup untuk membersihkan diri dari dosa tetapi lebih baik lagi, bahkan nampak lebih sungguh-sungguh, jika diawali dengan mengerjakan solat sunat taubat.
.
Cara mengerjakan solat sunat taubat sama seperti solat-solat lainnya, iaitu dimulai dengan takbir (takbiratul ihram) dan diakhiri dengan mengucap salam. Bacaannya semua sama dengan solat biasa. Hanya ada perbezaan sedikit tentang ketentuan surah yang dibaca, itu pun sebenarnya tidak disyaratkan membaca surah tertentu. Cara mengerjakannya akan diterangkan kemudian.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

Thursday, February 26, 2009

HASIL DARI TAUBAT

Taubat itu menimbulkan dua hasil. Salah satunya ialah terhapusnya dosa-dosa hingga orang yang bertaubat itu menjadi seperti orang yang tidak berdosa. Kedua ialah memperolehi darjat hingga mencapai darjat sebagai kekasih Allah.
.
Sedangkan penghapusan dosa itu ada dua tingkatan.
.
Sebahagiannya merupakan penghapusan terhadap akar dosa secara keseluruhan dan sebahagian lagi hanya menguranginya, dan besarnya dosa yang terhapuskan ini tergantung pada tingkatan taubat tersebut.
.
Berkata Ibnu Qayyim: "Orang yang berdosa itu mempunyai tiga sungai besar tempat dia mencuci dosa-dosanya di dunia ini. Jika tidak cukup pencucian yang dilakukan mereka itu, maka dia akan dicuci di neraka Jahim kelak setelah terjadinya kiamat.
.
Sungai-sungai itu ialah:
1. Sungai taubat nasuha.
2. Sungai kebajikan-kebajikan yang menenggelamkan dosa-dosa yang menyelimutinya.
3. Sungai musibah-musibah besar yang menghapuskan dosa.
.
Apabila Allah menghendaki terjadinya kebaikan pada diri hambaNya, maka Dia akan memasukkannya ke dalam salah satu dari ketiga-tiga sungai ini, sehingga dia akan datang pada hari kiamat kelak dalam keadaan wangi dan suci. Maka dia pun tidak perlu disucikan untuk yang keempat kalinya, iaitu penyucian dengan neraka Jahim.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

TANDA-TANDA TAUBAT YANG DITERIMA

Berkata Ibnu Qayyim Rahimahullah: Taubat yang makbul (diterima) itu memiliki beberapa tanda, diantaranya:
.
1. Bahawa setelah bertaubat, seseorang itu lebih baik daripada sebelumnya.
2. Bahawa dia sentiasa diliputi rasa takut, tidak merasa aman dari makar (siksa) Allah walau sekejap pun.
3. Di antaranya lagi ialah timbulnya rasa sedih dan takut yang mendalam di dalam hatinya.
4. Dan di antara tuntutan taubat yang benar juga terjadinya rasa sedih yang bersifat khusus di hadapan Tuhan yang tidak ada tandinganNya, suatu kesedihan yang sempurna yang meliputinya dari semua arah dan membuatnya merasa tercampak di hadapan Tuhannya dalam keadaan tidak berdaya, hina dan pasrah penuh khusuk.
.
Selanjutnya Ibnu Qayyim berkata: "Apabila Allah menginginkan suatu kebaikan terjadi pada hambaNya, maka Dia akan membukakan baginya pintu-pintu taubat, penyesalan dan kepiluan (kerana telah berbuat dosa), merasa hina di hadapan Tuhan, dia merasa sangat mengharapkan pertolongan Tuhan serta mendekatkan diri kepadaNya."
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

Detik-detik Rasullullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut.

From: zaimah@econ.upm.edu.my
Date: 03/20/2008 06:18PM
Subject: Detik-detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut.
.
Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.
.
Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah,"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian,Al Qur'an dan sunnahku.
.
Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.
.
Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.
.
"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.Tanda- tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
.
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut dating menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian panggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.
.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.
.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
.
"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu."Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.
.
"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.
.
"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
.
"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi.
.
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.
.
Amin....

6 perkara Allah sembunyikan

From: Edlin Fazly Ariffin
Sent: Tuesday, January 30, 2007 2:29 PM
To:
Subject: FW: 6 perkara Allah sembunyikan
.
Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap).
.
Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?." Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak" Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.
.
Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu." Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."
.
Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:
"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"
.
Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan....."
.
Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :
.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.
.
Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam
.
Kalau rajin... Tolong sebarkan cerita ini kepada saudara Muslim Muslimat yang lain agar menjadi renungan dan pelajaran kepada kita semua. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah meninggal dunia...
.

Wednesday, February 25, 2009

Taubat Dalam Sunnah Nabi














Sumber: Muhammad Khair Umar al-Husni (2007) Doa & Taubat Para Nabi Di Dalam Al-Quran. Shah Alam: Pustaka Dini.

TAUBAT NASUHA

Allah SWT berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. (At-Tahrim: 8)
.
Ibnu Umar dan Ubay bin Kaab berkata: 'Taubat Nasuha itu ialah, bahawa seseorang bertaubat dari dosa-dosa kemudian tidak kembali kepadanya lagi seperti ketidakmungkinan kembalinya susu ke tetek binatang."
.
Sedangkan Hasan Basri berkata: "Taubat Nasuha ialah hendaknya seseorang menyesal atas apa (dosa) yang pernah dikerjakannya pada masa lampau serta diiringi dengan sikap tidak kembali kepadanya."
.
Ibnu Qayim berkata: "Nasuha dalam bertaubat mengandungi tiga unsur:
.
Pertama: Memandang sama semua dosa dan bersikap sama terhadap seluruhnya, sehingga tidak satu dosa pun yang keluar dari penilaian sebagai dosa.
.
Kedua: Menghimpunkan antara azam (tekad) dan kesungguhan sikap seutuhnya untuk menghadapinya, sehingga tidak ada sedikit keraguan pun yang tersisa pada dirinya, tidak pula secebis angan-angan dan menanti-nanti pada batinnya. Namun dia menghimpun semua kehendak dan tekadnya untuk menghadapinya dan segera bersikap demikian.
.
Ketiga: Membebaskannya (tekadnya) dari segala kotoran dan penyakit yang merosak keikhlasannya serta menjadikannya takut kepada Allah secara murni, menginginkan balasan yang ada di sisiNya serta takut dari siksa yang ada di sisiNya.
.
Pendapat lain mengatakan bahawa di antara tanda-tanda taubat nasuha itu ialah:
.
1. Taubat meliputi segala dosa, sehingga tidak satu pun dosa yang tertinggal dan menghilangkan pengaruh-nya terhadap jiwa, sebagaimana sinar matahari menghapuskan kegelapan malam. Sesungguhnya orang yang bertaubat dari suatu dosa dan tetap mengerjakan maksiat yang lain, maka taubatnya belum sempurna.
.
2. Bertekad akan bertaubat hingga akhir hayatnya, untuk mengakhiri dosa-dosa. Berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya yang telah berlalu sebagaimana susu tidak akan kembali ke sumber asalnya.
.
3. Memulai dengan penyesalan dan mengakhiri dengan perbuatan amal soleh dan ketaatan, membersihkan hatinya dari pengaruh maksiat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan dosa buat selama-lamanya.
.
4. Menjauhi seluruh perbuatan dosa. Taubat tidak bererti apa-apa jika disertai dengan perbuatan dosa. Allah tidak akan menerima perbuatan baik seseorang selama dia melakukan perbuatan maksiat tersebut. Jiwa yang terbelenggu dalam memikirkan maksiat akan mengikis habis perbuatan baik.
.
5. Sesungguhnya seorang hamba tidak dituntut untuk mengerjakan seluruh perbuatan baik, akan tetapi dia dituntut meninggalkan seluruh perbuatan jahat. Dengan demikian akan mendorong dirinya melakukan kebaikan. Bagi seseorang yang bertaubat dari kemunafikan, maka tidak dibenarkan berbuat zina, bahkan dia dituntut melepaskan seluruh kejahatan dari hatinya.
.
6. Apabila ingin bertaubat dari seluruh dosa, maka seluruh anggota badan harus bertaubat. Taubat mata ialah memelihara pandangan dari perkara yang haram. Taubat tangan ialah memeliharanya dari mengambil barang-barang haram. Taubat kemaluan ialah dengan cara menjauhkannya dari perbuatan zina dan lain-lain sebagainya.
.
7. Mengenang atau mengingat-ingati apa saja yang pernah dikerjakan kemudian melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah ditinggalkan. Mengembalikan hak kepada pemiliknya, mentaati segala perintah Allah dan RasulNya.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

Ayat QURAN - Surah Al Ikhlas

From: Haslinda Sarip dhianabiha@yahoo.com.my
.
Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan saya tetap ada satu. Jika anda ada satu ilmu dan saya ada satu ilmu, kemudian kita tukar ilmu tersebut, anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu...
.
SALAM TO ALL - JUST For sharing:
ASSALAMU'ALAIKUM...KEHEBATAN SURAH AL-IKHLAS "Au zubillah himinashsyaitan nirrajim...bismilla hirrahmannirrahim" Tafsirannya: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
.
A) Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan. Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas, kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allahussamad. Lamyalid walam yu-lad. Walam yakul lahu kufuwan ahad.) sebanyak 3 kali. Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut. Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.
.
B) Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad s.a.w: "Barang siapa membaca Qul huwa"llahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya ia telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahwa sifulan itu telah menjadi pemendekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah, Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka". Inilah yang dinamakan membaca Qulhua"llah ahad satu hatam yaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu kesanggupan kita sehari.
.
C) Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby). Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya Siapakah antara Kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangkamasa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.
.
D) Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca Surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca Surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan. Sabda Rasulullah SAW lagi: Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a..s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.
.
E) Siapa membaca surah Fatihah, al-ikhlas, al-falaq, dan an-annas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke jumaat yang berikiutnya. Jika dibaca 3 surah ini al-ikhlas, al-falaq and an-nass pagi dan petang nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.
.
.
Nota: Jika sekiranya kawan-kawan ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada kawan2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW 'Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat'. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1) Sedekah/amal jariahnya
2) Doa anak-anaknya yang soleh
3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
.

LELAKI DAYUS

From: Muhammad Islahuddin bin Zaabar viovoxer@yahoo.com
.
Assalamualaikum. ..
sy ingin berkongsikan artikel yg sy rase sgt penting untuk dikhabarkan/ diingatkan semula kepada diri sy dan juga sahabat2 sekalian.
http://www.zaharudd in.net/content/ view/546/ 99/
semoga kita akan sentiasa berhati2 selepas ini agar tidak tergolong di dalam golongan dayus itu.
Wallahualam.
.
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.

DOSA KEPADA MANUSIA

Jika dosa itu ada sangkut-pautnya dengan manusia ditambah lagi satu syarat, iaitu minta maaf kepada orang bersangkutan atau tempat kita mengerjakan kesalahan. Dosa yang ada sangkut-paut dengan manusia misalnya mengumpat orang lain, mencacinya, menuduhnya berzina, mencemarkan nama baiknya, mengambil hartanya dan sebagainya.
.
Dosa-dosa seperti itu tidak memadai hanya bertaubat kepada Allah, tetapi mesti minta maaf kepada orang bersangkutan. Kalau dia maafkan, bersihlah kesalahan kita, tetapi kalau tidak dia maafkan kita tetap berdosa.
.
Nampaknya lebih mudah menyelesaikan kesalahan kepada Allah daripada kesalahan kepada Bani Adam atau manusia. Ini kerana Allah lebih mudah memaafkan kesalahan daripada manusia. Ditambah lagi kalau dosa kepada manusia terkadang kita ingin minta maaf tetapi orangnya tidak tahu di mana lagi atau mungkin sudah meninggal dunia.
.
Kalau dosa kepada manusia itu merupakan hutang kepadanya wajib dibayar hutang itu. Kecuali kalau dia mengatakan sudah dimaafkannya dan tidak perlu dibayar lagi, barulah dianggap selesai walaupun hutang tidak dibayar.
.
Kalau dosa itu merupakan harta yang dirampas daripada seseorang atau dicuri, maka hendaklah harta itu dikembalikan. Kalau kita mencuri selipar orang misalnya, tidak boleh kita minta maaf saja kepadanya sementara seliparnya tetap saja kita simpan.
.
Dosa kepada sesama insan ini sepatutnya kita lebih berhati-hati kerana berat akibatnya. Kalau kita mempunyai dosa kepada orang lain, di akhirat nanti sebahagian pahala kita diambil dan diberikan kepada orang yang kita melakukan kesalahan itu. Kalau amal kita tidak mencukupi untuk menebusnya, dosanya diambil kemudian ditimpakan kepada kita. Dan inilah yang dikatakan orang muflis di padang mahsyar nanti.
.
Pernah dahulu Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sababat beliau: "Tahukah kamu siapa orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis menurut pendapat kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dirham, dinar dan barang-barang di rumah."
.
Kemudian Rasulullah saw menjelaskan "Orang yang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solatnya, pahala zakat dan puasanya, tetapi dia datang dalam keadaan telah memaki si fulan, telah menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul yang lain. Maka diberikanlah kepada si fulan kebaikannya yang ini, kepada si fulan kebaikan yang ini dan seterusnya.
.
Kalau sudah habis kebaikannya sebelum dia selesai membayar akibat dari kesalahan-kesalahannya itu, maka diambillah dosa-dosa mereka (si fulan dan fulan), kemudian ditimpakan kepadanya. Kemudian dia dicampakkan ke neraka.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

Tuesday, February 24, 2009

Fadilat dan Khasiat Ayat Kursi




















Sumber: Abu Tobariya Al-Hafiz (2003). Doa & Zikir Yang Dikabulkan Allah. Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa Sdn. Bhd.

SYARAT-SYARAT TAUBAT

Syarat-syarat taubat ialah:
1. Berhenti melakukan dosa.
2. Menyesal telah melakukannya.
3. Berazam tidak akan kembali lagi melakukannya untuk selamanya.
.
Jika salah satu dari tiga perkara ini tidak ada maka taubatnya tidak sah. Untuk lebih jelasnya marilah kita bahas satu persatu dari ketiga-tiga syarat itu.
.
Berhenti melakukan dosa maksudnya hendaklah taubat dilakukan setelah meninggalkan dosa. Orang yang selalu curang dalam berniaga misalnya, sama ada curang kerana mengurangi timbangan, menjual barangan palsu dan sebagainya, maka hendaklah dia hentikan dahulu perbuatan curang itu kemudian baru bertaubat. Ramai orang yang curang atau menipu dalam perniagaan berulangkali menyatakan taubat tetapi dia tidak meninggalkan perbuatannya. Misalnya setiap selesai solat dia mengucap istighfar berulangkali kemudian berkata dalam bahasanya sendiri: "Ya Allah ampunilah dosaku." Taubat seperti itu tidak sah.
.
Begitu jugalah dosa-dosa lainnya yang terdiri dari berzina, meminum arak, mencuri, berjudi, memakan riba dan sebagainya. Mesti ditinggalkan dahulu perbuatan dosa itu kemudian barulah bertaubat. Bahkan tidak cukup dengan meninggalkan satu jenis dosa saja. Misalnya dia tinggalkan dosa menipu dalam perniagaan dan dia teruskan dosa-dosa lain seperti yang disebutkan di atas.
.
Menyesal telah melakukan dosa maksudnya hendaklah timbul rasa penyesalan dalam hatinya. Ada juga dosa yang menjadi kebanggaan bagi sesetengah orang, misalnya dosa minum arak dan main perempuan. Ada orang yang banyak main perempuan semasa mudanya berkata dalam hatinya setelah dia berkahwin atau setelah tua: "Nasib baiklah aku puaskan semasa mudaku." Terkadang orang yang berfikir seperti itu mengaku dia sudah bertaubat. Katanya dia sudah bertaubat tetapi hatinya mengatakan begitu dan bukan menyesal. Kalau tidak timbul rasa penyesalan bererti taubatnya tidak sah. Terkadang dia menceritakan pula kepada orang lain. Kalau dia cerita kepada orang lain bukan hanya dosa lama tidak terampun, bahkan timbul pula dosa baru. Dia mendapat dosa jika menceritakannya kepada orang lain.
.
Berazam tidak melakukannya lagi untuk selamanya maksudnya hendaklah diputuskan dalam hati tidak akan mengulanginya lagi. Kalau hatinya masih separuh-separuh, tidak sah taubatnya. Misalnya dia berkata, "Ya Allah, ampunilah dosaku berzina itu" Tetapi hatinya masih ingin melakukannya. Taubat seperti ini tidak sah. Ini sama juga dengan yang sebelumnya, iaitu berazam untuk tidak kembali melakukan semua jenis dosa. Tidak boleh berazam untuk tidak mengulangi menipu pelanggan tetapi masih ingin main perempuan.
.
Apakah taubat seseorang itu sah atau tidak, apakah termasuk taubat nasuha atau taubat pura-pura, hanya Allah yang dapat menentukannya. Allah tidak dapat ditipu kerana Dia tahu apa yang ada dalam hati manusia.
.
Apakah seseorang itu betul menyesal atau tidak, apakah dia betul berazam tidak akan melakukannya lagi, hanya orang yang bertaubat itu yang tahu. Dan yang pasti Allah pun tahu. Biasanya kalau seseorang itu betul-betul menyesal, akan timbul kesannya kepada orang yang bertaubat. Orang yang betul menyesal sudah pasti disusuli dengan linangan air mata. Orang yang menyesal biasanya akan berubah sikapnya. Orang yang menyesal akan berubah tutur katanya, cara berpakaiannya, amalannya, pergaulannya dan sebagainya.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

Monday, February 23, 2009

Doa Untuk Menjauhi Sihir Dan Orang Tidak Siuman


Sumber: Abu Tobariya Al-Hafiz (2003). Doa & Zikir Yang Dikabulkan Allah. Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa Sdn. Bhd.
.

DOSA YANG TIDAK DIAMPUN

Ada satu dosa yang tidak diampuni Allah, iaitu dosa syirik.
.
Firman Allah:
Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan Dia, dan mengampuni dosa selain dosa syirik itu bagi siapa saja yang dikehendakiNya. Sesiapa yang menyekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah tersesat sejauh-jauhnya. (An'Nisa: 116)
.
Adapun dosa-dosa selain syirik, sebesar apa pun ia dan berapa saja banyaknya, akan diampuni Allah jika bertaubat atau meminta ampun kepadaNya dengan bersungguh-sungguh. Seperti telah diterangkan pada pembahasanA/te/i Maha Pengampun, orang yang telah membunuh seratus orang pun diampuni Allah dosanya setelah dia bertaubat dengan taubat nasuha. Begitu jugalah dengan dosa-dosa lainnya seperti berzina, mencuri, meminum arak, berjudi dan sebagainya, akan diampuni Allah jika betul-betui bertaubat kepadaNya.
.
Bererti hanya ada satu dosa yang tidak diampuni Allah, iaitu dosa syirik atau menyekutukan Allah. Mengenai syirik ini ada orang yang terang-terangan menyekutukan Allah, ada yang menyekutukan Allah secara tersembunyi dan ada juga yang menyekutukan Allah tanpa dia sedari.
.
Menyekutukan Allah secara terang-terangan misalnya orang yang mengiktikadkan ada tuhan bapa, tuhan ibu dan tuhan anak, seperti kepercayaan orang-orang Kristian. Begitu juga orang yang menyembah berhala, kononnya dia menyembah berhala itu tidak lain untuk mendekatkannya kepada Allah. Ada orang yang mempunyai akidah seperti itu. Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 3 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang mengambil perlindungan selain Allah, mereka berkata: "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya."
.
Orang yang menyekutukan Allah secara sembunyi misalnya orang yang mempunyai fahaman ada yang berbuat mengatur alam ini selain Allah. Mereka yang beranggapan ada yang menjadikan selain Allah. Begitu juga tentang memberi rezeki, menghidupkan dan mematikan, menurunkan hujan, memelihara, begitu juga tentang memberi manfaat, mudarat, sebagainya. Banyak lagi contoh lain amalan yang membawa kepada syirik. Terkadang orang yang melakukannya tidak sedar bahawa dirinya telah melakukan amalan syirik.
.
Kesimpulannya hanya dosa syirik yang tidak diampuni Allah. Namun demikian tidaklah tertutup kemungkinan bagi orang yang melakukan syirik itu untuk bertaubat. Allah tidak mengampuni dosa syirik maksudnya selama orang musyrik itu tidak menukar fahamannya. Kalau dia sudah menukar fahamannya, dia percaya hanya Allah yang berkuasa, hanya Allah yang menentukan dan menjadikan segala sesuatu, hanya Allah yang patut disembah, setelah itu dia bertaubat atas fahamannya yang menyimpang itu, maka Allah akan mengampunkannya.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

ALLAH MAHA PENGAMPUN

Firman Allah:
Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat, beriman, beramal, soleh, kemudian tetap dijalan yang benar. (Thaha: 82)
.
Banyak lagi ayat lain yang menerangkan kepemurahan Allah serta menerangkan bahawa Allah Maha Pengampun. Allah akan mengampuni dosa-dosa hambaNya walaupun dosa si hamba itu sebanyak pasir di padang pasir atau sebanyak buih di laut. Allah mengampuni semua dosa walau sebesar apa pun selain dosa menyekutukan Allah. Ini semua dengan syarat, iaitu asalkan meminta ampun kepada Allah dengan sebenar-benar taubat atau yang diistilahkan dengan taubatan nasuha. Begitu juga asalkan bukan bertaubat ketika nyawa terancam' ketika ghargharah dan ketika matahari sudah terbit dari barat.
.
Dalam hadis pun banyak diceritakan tentang keampunan Allah yang amat luas itu. Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah bersabda:
Seandainya kamu bersalah, sehingga sampailah kesalahan kamu itu mencapai langit, kemudian kamu bertaubat, maka Allah akan menerima taubat kamu. (H.R. Muslim)
.
Untuk membuktikan betapa hebatnya ampunan dari Allah, marilah kita lihat riwayat ini. Dari Abu Said Al-Khudri, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Ada di antara umat sebelum kamu orang yang pernah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Kemudian dia bertanya kepada orang yang paling alim di negeri itu, lalu dia pun ditunjukkan kepada seorang Rahib. Datanglah dia kepadanya dan bercerita bahawa dia telah membunuh sebanyak 99 orang. Dia bertanya kepada rahib apakah Allah masih bersedia mengampuni dosanya. Rahib itu mengatakan bahawa dosa si pembunuh itu tidak akan diampuni. Kerana kesal, maka dia membunuh rahib itu, sehingga genaplah seratus orang yang sudah dibunuhnya."
.
Kemudian dia bertanya lagi kepada orang lain siapakah agaknya orang yang paling alim untuk tempat bertanya. Setelah mendapat petunjuk dari masyarakat, dia pergi lagi menjumpai seorang alim. Kepada orang alim itu dia berkata: "Saya ini adalah orang yang banyak dosa. Saya telah membunuh dan menghilangkan nyawa seratus orang. Apakah Allah masih mahu mengampuni dosaku kalau aku minta ampun kepadaNya?"
.
Orang alim itu menjawab: "Ya, Allah akan mengampuni dosamu, siapakah yang akan mendinding di antara Allah dan antara taubat?" Pergilah ke kampung ini.. dan ini.., di sana akan engkau jumpai orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah dengan baik. Ikutlah engkau bersama mereka menyembah Allah. Jangan pulang ke kampungmu kerana di sana masyarakatnya jahat belaka."
.
Si pembunuh yang ingin bertaubat itu berangkat menuju kampung yang ditunjukkan oleh orang alim itu. Rupanya sampailah saat yang sudah ditentukan Allah, di tengah perjalanan dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia dipanggil ke hadirat Allah SWT.
.
Datanglah dua malaikat memperebutkan jasad lelaki itu. Malaikat yang datang itu ialah malaikat rahmat dan malaikat azab. Malaikat rahmat berkata: "Ini adalah bidang kuasa saya, sebab dia dalam perjalanan ingin bertaubat kepada Allah" Berkata pula malaikat azab: "Dia telah membunuh manusia sebanyak seratus orang dan dia tidak pernah mengerjakan kebaikan selama ini, maka ini adalah urusan saya."
.
Maka datang malaikat yang menyamar seperti manusia. Dia berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata; "Saya lihat kamu bertengkar mengenai lelaki ini. Sekarang kita ambil jalan keluarnya. Mari kita ukur jarak antara tempat yang dia tuju dengan tempat kampung dia tinggal selama ini. Ke mana di antara keduanya yang paling dekat, maka kesitulah dia dihukumkan."
.
Mereka mengukurnya, ternyata dia sudah lebih dekat kepada tempat yang dia tuju, iaitu kampung orang yang masyarakatnya baik dan mengabdikan diri kepada Allah. Maka, akhirnya malaikat rahmat itulah yang mengurusnya. Bererti semua kesalahan dan dosa-dosanya telah diampuni Allah.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

JANGAN TUNGGU HINGGA TERTUTUP PINTU TAUBAT

Ada masanya Allah SWT tidak menerima taubat dari manusia walaupun dia betul-betui bertaubat, menyesali perbuatannya sehingga dia menangis dan sebagainya. Inilah yang selalu diistilahkan dengan tertutupnya pintu taubat. Taubat tidak diterima lagi ketika:
.
1. Nazak
Nazak di sini bukan hanya sekadar sakit tenat atau tidak sedarkan diri, tetapi jika roh sudah sampai ke kerongkongan seseorang. Biasanya malaikat maut mencabut nyawa manusia dari ubun-ubunnya. Dia tariklah roh itu dari ubun-ubun seseorang. Roh itu bergerak dari kaki ke arah kepala. Mula-mula jari-jarinya tidak bemyawa, kemudian betisnya, menyusul pahanya, perutnya, dadanya sampai lehernya. Ketika roh sudah sampai di leher atau kerongkongan, inilah yang dikatakan saat nazak atau ghargharah. Pada waktu ini tidak diterima lagi taubat seseorang.
.
Rasulullah saw bersabda:
Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selama belum sampai saat ghargharah.
.
Berdasarkan hadis itu, Allah SWT Maha Pengampun dan Dia menerima taubat seseorang hamba walaupun dosanya banyak kalau dia betul-betul minta ampun, tetapi dengan syarat belum sampai masa ghargharah.
.
2. Terancam nyawa
Firman Allah:
Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan, sehingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, barulah dia berkata: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang.
(An-Nisa:18)
.
Tidak diterima taubat dari seseorang yang dia bertaubat hanya kerana sudah diambang maut. Taubat seperti itu adalah taubat dalam keadaan terdesak, dalam keadaan genting atau dalam keadaan nyawa di hujung rambut. Taubat seperti itu tidak murni atau tulus dari hati orang yang bertaubat. Kalau bukan kerana keadaan gawat, dia tidak ingat dosanya dan tidak bertaubat.
.
Contohnya termasuklah orang yang bertaubat ketika kapal terbang yang dia naiki terjatuh. Misalnya ketika pesawat sudah terbakar dan sudah menjunam ke bawah, maka dia masih sempat bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, maka taubatnya tidak diterima walaupun dia betul-betui menyesali perbuatannya. Taubatnya tidak diterima kerana dia bertaubat dalam keadaan sudah dekat ajalnya.
.
Contoh lainnya misalnya orang yang karam di laut, orang yang kemalangan jalan raya, orang yang terperangkap di bawah bangunan runtuh dan sebagainya. Maksudnya sudah tipis harapan untuk selamat dan masih terang hati untuk mengingat dosa-dosa yang telah dilakukan dan masih ada waktu untuk bertaubat. Dalam keadaan seperti itu taubat tidak diterima lagi.
.
Firaun yang terkenal keras kepala dan sombong itu pun masih sedar, insaf dan mengakui kesalahannya ketika berhadapan dengan maut. Firaun menyatakan keimanannya kepada Allah dan bertaubat dari segala kesalahannya ketika dia tenggelam di laut. Allah SWT tidak menerima taubatnya itu.
.
Firman Allah dalam surah Yunus ayat 90 yang bermakaud: "Dan Kami memungkinkan bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya, kerana hendak menganiaya dan menindas mereka. Sehingga apabila Firaun itu telah hampir tenggelam, berkatalah dia: "Saya percaya bahawa tidak adaTuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri."
.
Allah SWT tidak menerima taubat Firaun. Sebelumnya dia sudah terlalujahat. Dia sudah banyak menindas kaum Bani Israil dan ramai yang dia bunuh. Dia telah banyak menentang Nabi Musa. Firaun sebenarnya sangat takjub dengan kekuasaan yang dia miliki sehingga membuat dia sombong. Dia menganggap dirinya raja dari segala raja, bahkan dia mengatakan dirinya Tuhan. Allah SWT tidak bersedia mengampuni kesalahan Firaun, apalagi kerana dia menyatakan keimanannya dan bertaubat setelah berada di ambang maut.
.
Allah SWT menjawab kata-kata Firaun itu dengan firmanNya:
Apakah sekarang (baru engkau percaya), padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu, dan engkau termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan? (Yunus: 91)
.
3. Dalam keadaan kafir
Allah tidak akan menerima taubat seseorang selama dia masih kafir atau belum beriman. Ini sesuai dengan firman Allah:
Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. (An-Nisa: 18)
.
Kalau ada orang kafir yang ingin bertaubat dari dosa-dosanya, maka hendaklah dia masuk Islam dahulu. Sebenamya orang kafir kalau dia sudah beriman (masuk Islam), maka hapuslah segala dosanya selama dia kafir. Sebaik saja masuk Islam, dia bersih dari dosa seperti halnya anak yang baru lahir. Sungguh beruntung orang yang mendapat hidayat untuk masuk Islam, apalagi dia sanggup mempertahankan rekod bersih itu sampai akhir hayatnya.
.
4. Matahari terbit dari barat
Taubat juga tidak diterima apabila matahari terbit dari barat atau tempat terbenamnya. Di antara tanda kiamat kubra (tanda besar) ialah terbit matahari dari tempat terbenamnya. Menurut riwayat, menjelang kiamat nanti akan terjadi suatu malam panjang. Malam itu cukup lama barn berganti dengan siang. Orang-orang semua sudah penat tidur dan perut pun sudah terasa lapar tetapi hari masih gelap. Setelah penat menunggu, barulah muncul cahaya fajar. Seperti biasa, hari pada pagi harinya mulai terang. Manusia keluar rumah untuk urusan masing-masing. Pada mulanya belum nampak sebarang keanehan. Tetapi alangkah terkejutnya manusia ketika itu tatkala melihat matahari terbit dari barat atau tempat yang biasa ia terbenam. Menurut riwayat peristiwa itu nanti akan terjadi pada hari Jumaat, yakni tepat pada hari terjadinya kiamat. Hari itulah terjadinya kiamat dan hari itu pintu taubat sudah ditutup.
.
Sumber: Syahrin J. (2007) Panduan Solat Taubat. Kuala Lumpur: Alhidayah Publications
.

Sunday, February 22, 2009

Amalan Membaca Surah Al-Waaqi'ah Sebagai Doa Untuk Murah Rezeki dan Tidak Akan Menjadi Miskin
















Sumber: Abu Tobariya Al-Hafiz (2003). Doa & Zikir Yang Dikabulkan Allah. Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa Sdn. Bhd.
.